Sabtu, 27 Jun 2009

Dosa Mata Tak Sama Dosa Perut

Apa makna dosa mata? dan apa makna dosa perut? Semua orang tahu kedua-dua dosa jenis ini. Tak perlu diperjelaskan lagi. Tetapi rasa-rasanya masih ramai orang-orang Islam yang tidak merasai bahawa kedua-dua jenis dosa ini amat jauh perbezaannya, maksud saya dari aspek pengampunan. Ada para haji dan lebai-lebai yang makan duit atau makanan yang haram serupa dengan mereka melihat perkara-perkara yang haram. Lepas melihat perkara-perkara haram, mereka makan dan minum pula duit dan makanan haram. Tetapi kepada orang-orang yang faham perbezaan antara kedua-dua jenis dosa ini, mereka amat berhati-hati dengan dosa perut, jauh lebih mereka elakkan daripada mengerjakan dosa-dosa mata, kerana mereka tahu betapa sukar, rumit dan sulitnya untuk mendapat pengampunan akibat dari dosa perut atau memakan benda-benda haram.

Ya, dosa mata juga adalah satu dosa yang tidak boleh diambil mudah. Memang. Tetapi maksud saya ialah dosa mata dapat diampun hanya dengan mengambil wudhu', membaca al-Qur'an dengan memandang musyhaf, menangis kerana takutkan Allah swt, menangis kerana mengenangkan keluarga Rasulullah saw dianiaya dan berbagai-bagai lagi. Tetapi dosa perut hanya api neraka sahaja yang dapat mengampuninya. Kalau tidak, kenalah membayar kembali barang-barang, makanan atau wang yang diambil secara haram itu atau meminta maaf kepada yang empunya. Apakah kita merasa semua pemulihan dosa perut ini adalah sesuatu yang amat mudah? atau sama mudah berbanding dengan cara untuk mendapat pengampunan dosa mata?

Saudara-saudara renunglah!

1 ulasan: