Umat Islam zaman terakhir ini mula melupai tanggungjawab mereka terhadap agama mereka yang maha suci. Terutama di dalam melaksanakan sembahyang fardhu lima waktu dan puasa. Begitu juga dengan zikir dan membaca al-Qur'an. Inilah punca mengapa jiwa orang-orang Islam sering dilanda ribut ketidaktenangan jiwa. Inilah ubat penenang jiwa. Tidak mencukupi ubat dari pusat rawatan sakit jiwa. Kenapa? Kerana amalan-amalan yang disebut tadi adalah merupakan tali penghubung antara manusia dengan Allah swt, Tuhan mereka. Allah swt adalah induk segala kehidupan dan kebahagiaan. Allah swt adalah induk bagi ketenangan jiwa. Allah swt adalah punca segala jiwa. Bukankah sebaik sahaja manusia dicipta dengan sempurna, Allah swt meniupkan roh ke dalam badan atau jasad manusia yang diciptaNya itu? Tiupan roh oleh Allah swt bererti mencipta roh dan memasukkan ke dalam badan manusia. Bukan roh itu bererti roh Allah swt sehingga manusia itu dikatakan adalah Allah swt juga seperti yang dipegangi oleh para penganut ajaran batiniyyah yang bertuhankan setiap diri manusia.
Jadi untuk manusia menenangkan jiwanya, hendaklah mereka sentiasa berhubung dengan pencipta jiwa itu ialah dengan mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu, berpuasa terutama pada bulan Ramadhan, berzikir dan membaca al-Qur'an. Kalau tidak seseorang manusia itu sentiasa berada di dalam keadaan jiwa yang resah, gelisah, serabut, serba tak kena dan macam-macam ketidakselesaan jiwa, biarpun mereka berada di dalam gedung emas, duduk di kerusi kebesaran, menyimpan berbank-bank wang. Mereka tetap menderita ketidaktenangan jiwa. Manakala mereka-mereka yang sentiasa mengerjakan sembahyang lima waktu, berpuasa Ramadhan dan sunat tiga hari sebulan sebagai tambahan, berzikir membasahi lidah dengan membaca tasbih dan lain-lain zikir dan membaca al-Qur'an setiap hari atau malam sekadar sepuluh ayat paling malas, jiwa mereka akan tenang kerana jiwa mereka yang dicipta oleh Allah swt itu dapat sentiasa berhubung dengan Penciptanya. Ibarat wire api yang berhubung dengan suiz besar dan lampu sentiasa menyala. Oleh itu saudara-saudara ambillah pengajaran yang sangat bermanfaat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan