Ahad, 28 Jun 2009

Ingat! Allah Itu Suci

Orang-orang yang menyembah berhala mengatakan Tuhan mereka itu suci! Orang-orang yang mempercayai dewa-dewi mengatakan Tuhan mereka itu suci. Pendekata semua orang yang beragama mempercayai Tuhan mereka suci. Bagaimana dengan umat Islam? Pastinya mempercayai begitu juga. Baiklah! Bagaimana semua orang yang beragama mempercayai Tuhan mereka suci? Tentulah dari pengajaran kitab-kitab masing! Orang-orang Yahudi diketahui dari pengajian kitab Taurat dan Talmud mereka. Orang Hindu daripada kitab mereka. Orang Buddha dari kitab mereka. Orang Keristian dari ktab Injil mereka. Begitu juga dengan orang-orang Islam, dari al-Qur'an dan hadith nabi mereka.
Kesimpulannya, semua agama menetapkan Tuhan itu suci. Apakah erti suci itu? Apakah erti Tuhan itu suci. Suci yang bagaimana? Suci daripada apa?
Saya tidak mahu memperkatakan tentang kesucian Tuhan, selain Tuhan orang-orang Islam sahaja iaitu Allah swt. Ini adalah kerana kita orang-orang Islam wajib mempelajari tentang Tuhan kita, Allah swt.
Allah swt itu suci, ertinya ZatNya adalah suci daripada unsur-unsur kejadian iaitu dilahirkan, mengalami kesakitan, keletihan, kegelisahan, tidur, lupa, apatah lagi mati atau lenyap. Allah swt itu suci juga bererti ZatNya memiliki atau ZatNya bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna, tidak ada pada ZatNya sifat-sifat kekurangan seperti zalim, berkhianat, tidak adil dan sebagainya.
Ulama'-ulama' ilmu kalam menetapkan dua puluh sifat Allah yang wajib diketahui, iaitu sifat-sifat yang menunjukkan Allah swt itu suci daripada sifat-sifat kekurangan. Dua puluh sifat yang sempurna yang dimiliki oleh Allah swt itu perlu diketahui dan diyakini oleh setiap orang Islam agar mereka menjadi seorang Islam yang sebenarnya, mengenal Tuhan mereka dengan betul, bukan hanya mengetahui Tuhan mereka itu Allah swt yang Maha Suci, tetapi tidak mengetahui apakah maksudnya. Di sini saya tidak dapat hendak menghuraikan secara satu persatu sifat-sifat Allah yang wajib dimilikiNya yang dinamakan sifat-sifat yang suci itu kerana penghuraiannya agak panjang. Untuk saudara-saudari ingin mempelajari tentangnya, silalah baca atau pelajarilah dengan Tok-Tok Guru yang mengajar tentang ilmu ketuhanan atau ilmu tauhid di masjid-masjid atau di madrasah-madrasah atau di pondok-pondok.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan