Isnin, 29 Jun 2009

Kebenaran Sumber Bahagia

Allah swt itu kebenaran, sebab itu setiap orang yang bersikap benar akan merasai bahagia di dalam hatinya. Para nabi, para rasul, para orang-orang yang menyeru manusia kepada ajaran agama Allah swt akan merasa bahagia kerana mereka menyeru kepada kebenaran. Apakah ukuran kebahagiaan itu? Ya, Allah swt adalah sumber kebahagiaan, tetapi bagaimana kita dapat mengetahui Allah swt yang merupakan sumber segala kebenaran dapat memberi kebahagiaan?
Allah swt adalah pewujud segala yang wujud. Allah swt ada sebelum segala sesuatu ada. Allah swt ada tidak dengan permulaan seperti dilahirkan atau dicipta atau tiba-tiba muncul ke dalam alam. Kalau Allah swt dilahirkan, bererti Dia mempunyai sekurang-kurangnya ibu seperti Nabi Isa as. Kalau Allah swt dicipta bererti Dia seperti robot yang direka oleh manusia. Kalau Allah swt tiba-tiba muncul bererti Dia wujud secara kebetulan. Mustahil sesuatu yang sempurna dapat wujud secara kebetulan! Benda yang tidak bernyawa pun tidak dapat wujud kalau tidak dicipta atau diadakan, apatah lagi untuk wujud dengan sempurna seperti Allah swt.
Kembali kita untuk memperkatakan kebenaran itu sumber kebahagiaan, dan Allah swt itu adalah sumber kebenaran. Apakah ada orang yang berfikir bahawa kepalsuan itu sumber kebahagiaan, dan Allah swt itu bukan sumber kebenaran? Apa alasan dia? Bagaimana dapat dikatakan kepalsuan itu sumber kebahagiaan, sedangkan kepalsuan itu adalah pembohongan? Apakah di dalam pembohongan itu duduknya kebahagiaan? Hati orang yang pembohong penuh dengan kegelisahan dan rasa bersalah. Hati pembohong adalah sarang ketidaktenteraman. Apakah ada yang berani membantah? Hati pembohong penuh dengan ketenteraman? Pembohong itu lawannya pembawa kebenaran. Kalau dalam hati pembohong itu dapat duduk kebahagiaan, sudah pasti di dalam hati pembawa kebenaran dapat duduk kegelisahan. Ini adalah perkara yang mustahil.
Di dalam kelazatan tidak terdapat kepahitan. Di dalam kesiksaan tidak terdapat kenikmatan. Apakah di dalam kepanasan itu ada kenikmatan? Apakah di dalam kenyamanan itu ada kepedihan? Ini mustahil. Kalau begitu masakan di dalam kebenaran terdapat kekegelisahan, dan di dalam kepalsuan terdapat ketenangan!!
Semua manusia mengakui perbuatan jenayah yang mereka lakukan telah menyebabkan hati mereka tidak tenteram. Kenapa? kerana perbuatan jenayah yang mereka lakukan itu adalah suatu kepalsuan. Masakan di dalam kepalsuan terdapat kebahagiaan? Sudah saya katakan kebahagiaan lahir daripada kebenaran, dan kebenaran itu bersumber daripada Allah swt. Maka jelaslah Allah swt itu adalah sumber kebahagiaan kerana Allah swt adalah sumber kebenaran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan