Selasa, 23 Jun 2009

Sunnah Sumber 5 Hukum

Sebahagian umat Islam ada yang berpendapat bahawa semua sunnah Rasulullah saw wajib diamalkan. Kalau tidak akan sesat dan berdosa. Dan ada yang menetapkan sunnah Rasulullah saw tidak ada yang kecil, semuanya besar dan sama taraf. Apakah benar kedua-dua pendapat ini? Sebenarnya tidaklah demikian. Mengikut pendapat ulama'-ulama' yang mu'tabar, bahawa sunnah Rasulullah saw terbahagi kepada lima hukum atau terbagi kepada hukum yang lima juga iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Ada sunnah yang haram diamalkan? Dahsyat bunyinya!! Tidak dahsyat tuan-tuan dan puan-puan semua. Memang ada sunnah Rasulullah saw yang haram iaitu haram umat baginda mengamalkannya iaitu berkahwin dalam satu masa lebih daripada empat orang perempuan.
Sunnah Rasulullah saw yang wajib seperti sembahyang lima waktu. Sunnah yang sunat umat amalkan terlalu banyak. Ini tidak perlu dijelaskan kerana semua umat Islam mengetahuinya. Sunnah yang harus seperti memakai jubah. Sunnah yang harus kalau diniatkan kerana mahu mengikut sunnah Rasulullah saw akan diberi pahala. Sunnah yang makruh seperti menyambung puasa setelah masuk malam.
Inilah hukum sunnah Rasulullah saw. Tidak semua sunnah Rasulullah saw setaraf besar belaka tiada yang kecil seperti yang difahami oleh orang-orang yang fanatik melulu. Ini bukan menjadi baik kepada agama seseorang itu, tetapi menjadi agamanya berat dan payah. Bagaimana tidak payahnya kalau tidak dapat tidak kena sentiasa berjubah dan sentiasa membawa kayu sugi. Ini bukan nak mengata. Tak baik kalau semata-mata mahu mengata atau menghina kerana ini adalah amalan Rasulullah saw. Tetapi saya mahu agar orang-orang Islam tahu mana kewajipan mana keharusan. Ajaran agama Islam tidak berat, tetapi umat Islam yang memberati diri mereka dengan ajaran agama. Rasulullah saw bersabda yang lebih kurang maksudnya, " Islam itu mudah, tidak ada yang memayah-mayahkannya, melainkan ia akan dikalahkan oleh agamanya."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan