Satu jalan untuk mendapat keimanan yang teguh kepada Allah swt ialah dengan merenung alam. Ini adalah sebaik-baik cara atau jalan untuk memperolehi iman yang kuat dan tulin. Banyak sekali ayat-ayat al-Qur'an yang menyuruh manusia merenung alam. Paling mudah merenung kejadian diri sendiri atau binatang ternak. Ini adalah kerana diri sendiri atau binatang ternakan adalah alam yang paling dekat sekali dengan manusia.
Kenapakah dengan merenung alam baru dapat kekuatan iman, bukan dengan beribadat? Bukankah banyak beribadat itu akan menjadikan iman kuat dan teguh? Sebenarnya seseorang itu dapat beribadat dengan banyaknya adalah disebabkan iman yang kuat di dalam hatinya. Kalau dia tidak mempunyai iman atau iman yang kuat, sudah pasti dia tidak akan mengerjakan ibadat dengan bersungguh-sungguh. Ibarat motokar atau keretapi yang bergerak pantas adalah disebabkan kekuatan tenaga enjinnya, bukan disebabkan kekuatan badannya. Meskipun sesebuah motokar atau keretapi yang dibina atau dicipta dengan enjin yang kuat, sekiranya tenaga enjinnya lemah, motokar atau keretapi itu tidak dapat berjalan dengan pantas.
Motokar atau keretapi dapat bergerak pantas adalah disebabkan kekuatan tenaga enjinnya yang diperolehi dari bakaran minyak petrol atau diesel yang dimasukkan ke dalam enjinnya, lantas terbakar dan mengeluarkan tenaga yang kuat dan menggerakkan motokar atau keretapi dapat bergerak pantas. Begitu juga dengan manusia. Kekuatan iman manusia yang menyebabkan dia dapat beribadat adalah disebabkan tenaga hatinya yang diperolehi dari perenungannya yang teliti yang dicanang oleh akalfikirannya lantas memberi keputusan bahawa kewujudan alam ini tidak boleh dengan sendirian melainkan pasti dicipta oleh satu kekuatan Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Motokar atau keretapi dapat berjalan pantas kerana tenaga yang datang dari minyak petrol atau diesel, bukan kerana kekuatan binaan fizikal mereka. Manakala manusia dapat beribadat dengan bersungguh-sungguh kerana tenaga iman yang diperolehi dari perenungan alam, bukan kerana tenaga badan mereka yang perkasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan