Sabtu, 27 Jun 2009

Ego Sumber Kekufuran

Ego ( sombong/takabbur/angkuh ) sumber kekufuran? Benarkah kenyataan ini? Apakah ini bermakna apabila seseorang itu memasukkan ke dalam jiwanya perasaan ego, maka dia dengan serta merta menjadi seorang yang kafir atau terkeluar dari Islam? Kalau demikian ramailah orang-orang beriman yang kufur!

Sebenarnya tidaklah demikian. Seseorang yang memasukkan rasa ego ke dalam hatinya tidak menjadi kafir atau terkeluar dari Islam. Hanya sekadar berdosa sahaja. Bukan setakat berdosa, tetapi berdosa besar. Ini adalah kerana ego termasuk ke dalam senarai sepuluh amalan hati yang mazmumah. Oleh itu hendaklah kita awasi terhadap amalan ego ini.

Kembali kepada membicarakan tentang ego adalah sumber kekufuran. Apakah yang dimaksudkan dengan ego adalah sumber kekufuran? Ego adalah salah satu daripada sifat-sifat Allah swt. Hanya Allah swt sahaja yang layak merasai diri ego, sebab Allah swt Zat Pencipta, sebab Allah swt sumber segala kehidupan, sebab Allah swt Tuhan seluruh makhluk dan seluruh makhluk wajib menyembah dan patuh dengan rela atau terpaksa kepadaNya.

Kalau ada yang tiba-tiba bertanya, bukankah ego itu satu sifat yang hina dan keji seperti juga dengan sifat penipu, mengkhianat, zalim dan putarbelit? masakan sifat-sifat buruk ini adalah termasuk sifat-sifat Allah swt?

Sebenarnya sifat ego tidak sama dengan sifat yang dinyatakan itu. Sebab ego sebenarnya tidak merosakkan atau menzalimi orang. Tetapi sekadar merasa diri mulia atau lebih mulia atau lebih terhormat daripada makhluk yang lain. Ego yang tidak memberi keburukkan atau menzalimi orang atau makhluk yang lain, semata-mata rasa dalam hati lebih besar dan lebih mulia daripada mahkluk yang lain. Manakala sifat-sifat penipu, mengkhianat, zalim dan putarbelit adalah sifat-sifat atau sikap-sikap yang buruk. Sebab itu sifat-sifat ini tidak terdapat pada Allah swt ( tapi awas, ini perlu dipelajari dengan lebih mendalam berkaitan dengan sifat-sifat Allah swt ).

Kembali memperkatakan tentang ego adalah sumber kekufuran. Kemudian sifat Allah swt yang hanya layak kepadaNya sahaja itu telah diambil oleh Iblis la'natullah dan dipakai pada hatinya. Apabila Allah swt memerintah semua malaikat termasuk Iblis la'natullah agar sujud kepada Nabi Adam as, tiba-tiba Iblis la'natullah sahaja yang tidak mahu sujud. Kenapa? Kerana dia telah mengambil satu sifat Allah swt dan dimasukkan ke dalam hatinya iaitu sifat ego ini. Kerana ego yang ada di dalam hatinya, maka Iblis la'natullah telah merasa dirinya lebih mulia dari Nabi Adam as sebagaimana Allah swt merasa DiriNya lebih mulia daripada seluruh makhlukNya, maka Allah swt menjatuhkan hukuman kufur ke atas Iblis la'natullah. Inilah yang saya katakan ego adalah sumber kekufuran. Ertinya kerana sikap ego telah menjatuhkan diri Iblis la'natullah ke dalam lembah kekafiran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan