Selasa, 23 Jun 2009

Tokoh Intelektual Islam Terunggul

Sarjana-sarjana Islam sangatlah ramai. Sejak zaman Rasulullah saw, Khalifah Irrasyidin sampailah ke kerajaan Abbasiyyah, ramai sekali tokoh-tokoh intelektual Islam yang telah lahir. Pada zaman Rasulullah saw memerintah dunia Arab, sarjana-sarjana Islam yang terkemuka lahir di dalam berbagi-bagai bidang ilmu atau keahlian seperti Zaid bin Thabit di dalam bidang bahasa asing dan pusaka. Ubai bin Kaab dalam bidang ilmu al-Qur'an. Umar bin al-Khatatb dalam bidang fatwa. Abu Hurairah dalam bidang hadith. Abdullah bin Abbas dalam bidang tafsir al-Qur'an. Abdullah bin Umar dalam bidang sunnah dan ramai lagi.
Namun sarjana Islam yang paling terkemuka yang pernah lahir ialah Imam al-Ghazali di dalam bidang falsafah dan tasauf. Tetapi falsafah Imam al-Ghazali bukan seperti fahaman falsafah yang dianuti oleh Ibnu Rusyd dan Ibnu Sina. Dikatakan kedua-dua tokoh intelektual Islam ini adalah penganut falsafah Yunani kuno khasnya falsafah Aristotle yang berpendapat alam ini qadim, Allah swt hanya mengetahui perkara-perkara ijmali sahaja dan kebangkitan pada Hari Qiamat nanti hanyalah roh semata tanpa jasad kasar. Inilah yang membezakan falsafah Imam al-Ghazali dengan Ibnu Rusyd dan Ibnu Sina.
Selain itu sarjana-sarjana Islam lain yang terkemuka ialah al-Khawarizmi dalam bidang matematik al-jibra, anak-anak Musa bin Syakir dalam berbagai-bagai bidang, al-Firdausi dalam bidang syair, Umar al-Khayyam di dalam bidang syair dan matematik dan ramai lagi. Bahkan kadang-kadang sejarawan Islam terkeliru dengan memasukkan tokoh-tokoh intelektual Arab bukan Islam sebagai tokoh-tokoh intelektual Islam seperti Hunain bin Ishak, Yahya bin al-Batriq, Yuhanna bin Musaweh dan sebagainya. Sedangkan mereka ini sebenarnya adalah penganut agama Nasrani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan