Ahad, 28 Jun 2009

Berbelanjalah Mengikut Hukum Lima

Setiap hari kita perlu berbelanja kerana melunaskan keperluan hidup. Berbelanjalah dengan berhati-hati dan berhemah. Berbelanjalah berpandukan kepada keperluan, bukan kemahuan. Usahlah mencontohi cara berbelanja orang-orang yang hidup mewah, kerana mereka mempunyai wang yang lebih dan melimpah-limpah. Jadi untuk menyalurkan wang yang bersepah itu keluar agar tidak berkelodak di dalam bank, mereka perlu berbelanja mengikut sesedap rasa sahaja. Namun akhirnya mereka menyesal. Kalau mereka tidak menyesal di dunia, mereka akan menyesal di akhirat kelak.

Mengikut ajaran agama Islam, untuk berbelanja, perlulah kita berpandukan kepada lima hukum. Samalah dengan hukum fekah juga, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Cara ini akan menjadikan hidup kita selamat dan teratur dan tidak terbeban dengan hutang yang bertalian. Bagaimanakah cara berbelanja mengikut hukum lima ini?

Cara pertama iaitu berbelanja cara wajib. Rasanya tidaklah perlu saya beritahu apakah barang-barang yang wajib seseorang membelinya. Masakan setiap orang tidak tahu apakah barang-barang yang wajib ia beli apabila ia mahu berbelanja? Misalnya beras sudah habis, maka wajiblah ia beli beras, kalau tidak sudah tentu dia dan anak isterinya akan kelaparan. Inilah yang dinamakan belanja wajib.

Belanja sunat? Bagaimanakah rupa barang-barang itu? Barang yang dikatakan seseorang itu sunat membelinya? Misalnya beras. Membeli beras adalah wajib setelah beras di rumah sudah kehabisan. Ini wajib. Tetapi membeli jenis-jenis beras itu adalah sunat. Membeli beras yang harganya RM 1.80 sekilo tentulah dikira sunat daripada membeli beras yang berharga RM 1.70 sekilo. Begitu juga membeli ikan yang berharga RM 8.00 sekilo adalah sunat bila dibandingkan dengan membeli ikan yang harganya RM 7.50 sekilo.

Belanja harus? Membeli teh atau kopi itulah yang dikatakan belanja harus, kerana lepas makan tengahari atau malam, minum air kosong pun tak menjadi persoalan.

Belanja makruh? Membeli bermacam-macam buah-buahan sehingga berkemungkinan menjadi tak elok kerana tak sempat untuk dimakan ketika ianya masih segar dan elok.

Belanja haram? Membeli sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan diri atau yang tidak berfaedah kepada kehidupan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan