Makan dan minum adalah perintah Allah swt, meskipun bukan perintah wajib, tetapi terkandung di dalamnya perintah wajib. Namun seandainya Allah swt tidak memerintah manusia makan dan minum pun, manusia tetap akan makan dan minum, kenapa? Kerana manusia dijadikan bersifat lapar dan dahaga apabila perut mereka kosong. Apabila seseorang manusia itu mula merasa lapar dan dahaga, mereka akan segera mencari makanan dan air untuk dimakan dan diminum. Dan kebanyakan manusia ketika makan dan minum mereka tidak memikirkan tentang halal atau haramnya makanan dan air yang mereka minum itu. Apa yang mereka nampak perut mereka perlu diisi dengan nasi dan air.
Ya, manusia tidak akan memikirkan tentang persoalan-persoalan halal atau haram ketika mereka akan makan dan minum kecuali manusia itu adalah seorang manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah swt. Hawa nafsu manusia hanya tahu dan mahu makan makanan dan minuman yang lazat sahaja. Tetapi Allah swt memerintah manusia makan makanan dan meminum minuman yang lazat dan halal. Inilah yang dikatakan perintah Allah swt agar manusia makan dan minum adalah mengandungi dua perintah, satu perintah yang harus hukumnya iaitu perintah makan dan minum yang lazat. Manakala satu lagi perintah ialah perintah yang wajib iaitu makan dan minumlah makanan dan minuman yang halal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan