Golongan Mu'tazilah mengatakan Allah swt itu tidak mempunyai sifat. Tetapi golongan Ahlis Sunnah wal Jamaah menyatakan sebaliknya. Soalnya sekarang siapakah yang pernah melihat Zat Allah swt sehingga mereka dapat mengetahui Allah swt itu bersifat atau tidak bersifat? Apakah Abu Hasan al-Asya'ari pernah melihat Zat Allah swt sehingga dia dapat menetapkan Allah swt itu bersifat? Apakah begitu juga Abu Mansur al-Maturidi? Dan apakah Wasil bin Ata' telah melihat Zat Allah swt sehingga dia dapat menentukan Zat Allah swt itu tidak bersifat? Ataukah ada Rasulullah saw menyebut tentang Zat Allah swt itu bersifat atau sebaliknya seperti yang difahami oleh Wasil bin Ata', ketua orang-orang Mu'tazilah yang pertama?
Kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah yang dipelupuri oleh Imam Abu Hasan al-Asya'ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi tetap berkeyakinan Allah swt itu mempunyai sifat, bukan sekadar Zat sahaja. Allah swt berkuasa, berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar, melihat dan berkata-kata adalah dengan sifatNya. Tetapi kaum Mu'tazilah yang dipelopori oleh Wasil bin Ata', Amru bin Ubaid, Abu Huzail al-Allaf, an-Nazzam dan al-Jahiz tetap berkeyakinan bahawa Allah swt tidak mempunyai sifat. Dia berkuasa, berkehendak, mengetahui, hidup, mendengar, melihat dan berkata-kata adalah dengan ZatNya tanpa sifatNya. Manakalah antara pendapat ini yang benar? Kembali kita bertanya, pernah manusia-manusia itu melihat Zat Allah swt?
Kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah berpegang kepada hadith Rasulullah saw yang menyatakan bahawa manusia akan dapat melihat Allah swt di Hari Qiamat dan ketika di dalam syurga nanti. Dan Rasulullah saw menyatatakan bahawa Allah swt itu cantik. Jadi bagaimanakah dapat terjadi manusia dapat melihat Allah swt sekiranya Allah swt itu tidak mempunyai sifat dan bagaimanakah dapat dikatakan Allah swt itu cantik sekiranya Dia tidak mempunyai sifat? Misalnya kita melihat sekumtum bunga dan kita merasai kecantikannya, maka bunga yang cantik yang kita lihat itu adalah sifat bunga, bukan zat bunga. Zat bunga kita tidak dapat melihatnya. Sebab zat segala sesuatu tidak dapat dilihat. Zat bunga adalah pada kewujudan bunga itu. Adapun bunga yang dapat kita lihat, pegang dan merasai kecantikkannya adalah sifat bunga, bukan zat bunga. Kalau hendak dikira, zat bunga tidak dapat wujud tanpa sifat bunga. Kalau dikatakan manusia yang tidak bersifat, macam mana? Tentulah seorang manusia yang dilahirkan berdaging yang tidak mempunyai bentuk. Seperti sebiji timun. Ini pun bersifat, bukan tidak bersifat. Manusia yang tidak sempurna sifat kemanusiaannya dari aspek fizikal, bukan tidak bersifat. Kalau manusia dilahirkan tidak mempunyai sifat, bererti manusia itu tidak dilahirkan, sebab diri manusia itu adalah daging bercampur darah, bercampur lendir bercampur urat dan sebagainya daripada unsur-unsur kejadian manusia!!!!
Jadi kalau dikatakan Allah swt itu tidak mempunyai sifat, Zat sahaja, maka Allah swt itu tidak mempunyai wajah dan pastinya apabila tidak ada wajah atau rupa, tidak adalah kecantikkanNya. Tetapi Rasulullah saw jelas menyatakan Allah swt itu dapat dilihat dan cantik!!
Kaum Mu'tazilah menolak Allah swt bersifat dengan alasan sekiranya Allah swt itu bersifat, sudah pasti Allah swt itu berupa. Sedangkan Allah swt itu Tuhan yang tidak menyerupai segala sesuatu daripada makhluk ciptaanNya. Kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah menghujjah bahawa Allah swt bersifat adalah penetapan daripada Rasulullah saw juga. Soal Allah swt itu tidak serupa dengan sebarang makhluk ciptaanNya adalah itu memang tidak serupa. Tidak semestinya yang berupa itu serupa dengan yang lain. Dan berupa Allah swt itu pula bukan seperti berupa makhlukNya. Sebagaimana Imam Malik bin Anas berkata, memang Allah swt bersemayam di atas ArasyNya, tetapi caranya adalah cara yang layak denganNya.
Kaum Mu'tazilah mena'wil ayat al-Qur'an yang menyebut Allah swt bersemayam di atas ArasyNya dengan makna pusat pemerintahanNya, bukan Dia bersemayam di sana. Mereka juga menakwil hadith Rasulullah saw yang mengatakan Allah swt dapat dilihat di akhirat seperti manusia dapat melihat matahari ketika tiada awan dengan takwilan maksudnya melihat kebesaranNya, bukan melihat ZatNya atau sifat-sifatNya seperti yang difahami oleh kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah. Kaum Mu'tazilah menafikan segala kelakuan Allah swt yang dapat dilakukan oleh sesuatu yang bersifat dengan sebab mereka menyakini Allah swt itu tiada mempunyai sifat. Allah swt adalah tunggal dengan setunggalnya iaitu Dia hanya Zat bukan bersifat. Kalau Dia adalah Zat yang bersifat, maka seolah-olah Allah swt itu mempunyai dua unsur ketuhanan iaitu Zat dan Sifat. Maka dimanakah lagi ketunggalan Allah swt itu, tanya kaum Mu'tazilah.
Kaum Mu'tazilah kerana sangat mendahului akal daripada nas hadith yang dirasakan menyalahi al-Qur'an dan keputusan lojik akal, maka mereka sanggup menakwil banyak hadith-hadith Rasulullah saw yang mereka kira bertentangan dengan keputusan lojik akal. Maka kaum Ahlis Sunnah wal Jamaah mengambil keputusan bahawa akal tidak boleh mempertimbangkan pesoalan-persoalan agama secara mutlak. Keputusan akal hendaklah diselaraskan dengan nas al-Qur'an dan hadith. Kerana Rasulullah saw dibangkitkan membawa ajaran-ajaran yang kadang-kadang tidak dapat difikirkan. Oleh itu kalau tidak mahu sesat, ikutlah al-Qur'an dan hadith Rasulullah saw dan ikutlah fahaman para sahabat Rasulullah saw dan para Salafus Salih terutama di dalam memahami persoalan yang berkaitan dengan akidah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan