Di kalangan cerdik pandai Islam, terdapat orang yang membenarkan tindakan Khalifah Yazid bin Mu'awiyah terhadap Sayyidina Husein dalam peristiwa Padang Karbala'. Pembenaran ini didasarkan kepada dua kategori. Pertama cerdik pandai Islam itu menghujjahkan bahawa Khalifah Yazid tidak pernah mengeluarkan arahan kepada mana-mana gabenor atau panglimanya di mana-mana daerah atau wilayah agar membunuh Sayyidina Husein yang datang ke Irak. Orang yang bertanggungjawab di atas pembunuhan Sayyidina Husein di Padang Karbala' ialah gabenor kota Kufah iaitu Ubaidullah bin Ziad yang telah memerintah kepada Panglima Umar bin Saad bin Abu Waqqas supaya menyerang dan membunuh Sayyidina Husein. Jadi Khalifah Yazid bin Mu'awiyah bersih daripada noda dan dosa pembunuhan cucunda Rasulullah saw.
Hujjah yang kedua pula, sekiranya ada arahan daripada Khalifah Yazid bin Mu'awiyah supaya menyerang dan membunuh Sayyidina Husein yang datang ke Irak, itu adalah layak dan wajar, kenapa? kerana Sayyidina Husein ketika itu adalah penderhaka kepada pemerintah Islam. Penderhaka kepada pemerintah atau kerajaan Islam yang datang menyerang kerajaan Islam boleh dihadapi dengan kekuatan tentera dan boleh dihapuskan agar negara aman.
Namun sejarah Islam telah mencatitkan bahawa Khalifah Yazid bin Mu'awiyah tidak pernah mengeluarkan arahan agar Sayyidina Husein dibunuh dan Khalifah Yazid semakin terlepas daripada noda kecelakaan kerana Sayyidina Husein dikatakan seorang pemberontak.
Kerana itu Khalifah Yazid yang berada di atas singgahsana terus dimuliakan, manakala Sayyidina Husein yang dibunuh telah dikutuk dan dinista kerana dikatakan penderhaka terhadap kerajaan Islam yang sah.
Baiklah nampaknya segolongan ahli sejarah Islam dan segelintir ulama' memberi kelepasan kepada Khalifah Yazid bin Mu'awiyah di dalam persoalan pembunuhan cucunda Rasulullah saw yang paling baginda cintai Sayyidina Husein disebabkan dua alasan seperti yang disebutkan di atas. Tetapi bagaimanakah dengan perbuatan pencerobohan ke atas kota Madinah dan kota Mekah oleh tentera kerajaan Khalifah Yazid bin Mu'awiyah? Apakah ada ahli-ahli sejarah Islam yang masih mahu mensucikan Khalifah Yazid mahu mengatakan itu juga bukan dari arahan Khalifah Yazid? Tidak! Dalam persoalan memperkosa kedua-dua kota suci sehingga kedua-dua kota suci itu dicemari, semua ahli sejarah Islam mengatakan memang itu adalah tanggungjawab Khalifah Yazid bin Mu'awiyah, tetapi Khalifah Yazid terpaksa bertindak demikian kerana mahu menghapuskan para pemberontak. Alasan mereka Rasulullah saw juga pernah menebang pokok-pokok korma di daerah yang dikepung kerana mahu penduduknya segera menyerah diri.
Tetapi ahli sejarah Islam yang membuat perbandingan tindakan Khalifah Yazid menyerang kota Madinah dan kota Mekah dengan perbuatan Rasulullah saw dan tentera Islam yang mengepung dan menebang beberapa batang pokok korma di perkampungan bani Nadhir, tidaklah tepat. Ini adalah kerana Rasulullah saw tidak merosak, hanya sekadar menebang beberapa pokok korma sahaja, sedangkan tentera Khalifah Yazid bin Mu'awiyah memperkosa para wanita di kota Madinah. Rasulullah saw melontar batu ke dalam kota Khaibar dengan alat manjaniq dan merosakkan sebahagian kota itu, tetapi Khalifah Yazid bin Mu'awiyah telah mengepung kota Mekah dan tidak tahulah apa yang akan terjadi ke atas Ka'abah sekiranya Allah swt tidak mencabut nyawanya ketika dia sedang berlumba di atas belakang kudanya dengan keranya di kota Damsyik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan