Memang sudah menjadi lumrah umat Islam sejak zaman berzaman, pergi mengambil haji ke Mekah setelah cukup wang. Kalau tidak, tak dapat sampai ke Mekah kerana kedudukan negeri yang begitu jauh dari kota suci itu. Dan sudah menjadi suatu lumrah umat Islam juga sekiranya mereka mempunyai perbelanjaan yang cukup, mereka akan pergi naik haji di saat-saat usia mereka sudah melebihi lima puluhan atau enam puluhan, malah tidak sedikit setelah usia memasuki tujuh puluhan. Kenapa? Kerana amalan ibadat haji tidak dituntut dikerjakan segera meskipun setelah mempunyai perbelanjaan yang mencukupi. Tetapi kita kenalah memasang niat sekiranya mahu menangguhkan pergi ke Mekah setelah cukup kemampuan. Kalau tidak akan berdosa kerana menangguh itu.
Soal naik awal atau akhir haji itu tidaklah menjadikan suatu persoalan yang besar dan mengaibkan, kenapa? kerana Rasulullah saw mengerjakan ibadat haji pada tahun ke 10 hijrah, padahal ibadat haji difardhukan pada tahun ke 6 hijrah lagi. Dan kota Mekah ditakluk pada tahun ke 8 hijrah. Inilah yang menjadi dalil atau hujjah kepada Imam asy-Syafie rhm untuk mengambil keputusan istimbatnya bahawa ibadat haji boleh dikerjakan pada akhir-akhir usia.
Soal yang menjadi keaiban ialah apabila para haji yang masih tidak takutkan kepada Allah swt setelah mereka mengenal Rumah Allah swt di kota Mekah dan makam Rasulullah saw di kota Madinah. Para haji masih juga makan makanan yang haram, masih juga jauh daripada masjid, masih tidak mahu bersedekah kepada kaum fakir miskin dan anak-anak yatim, masih berpoya-poya dengan perempuan-perempuan, masih bercakap takabbur, masih melakukan syirik terhadap Allah swt, masih cintakan dunia dan segala kemegahannya dan macam-macam kasih kepada kekotoran dan keburukan dunia. Inilah haji yang sangat dihairani oleh jiwa yang insaf.
Sepatutnya para haji hendaklah bersikap selalu ingatkan pada kematian dan kehidupan sesudah mati itu. Sepatutnya sentiasa memikirkan bagaimanakah dia dapat melintasi titian sirat yang dibentang di atas api neraka. Benci kepada segala kemungkaran. Cinta kepada semua kebaikan. Tidak lagi memikirkan tentang gadis-gadis fana', tetapi memikirkan pada gadis-gadis baqa'. Haji yang berjiwa tenang, bukan berjiwa miang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan