Khamis, 25 Jun 2009

Zikir Lebih Besar Daripada Sembahyang?

Semua umat Islam tahu bahawa sembahyang fardhu lima waktu adalah tiang bagi agama. Tanpa tiang, tiada sebuah rumah atau istana atau bangunan pun yang dapat didirikan. Dan kalau telah didirikan, apabila tiang dibuang atau tidak mahu dipakai lagi, maka akan robohlah rumah atau istana atau bangunan itu. Begitulah dengan agama Islam. Akan tidak dapat berdiri tegak sekiranya tidak didirikan sembahyang atau akan robohlah sekiranya sembahyang fardhu lima waktu diabaikan.
Tetapi bagaimana dapat dikatakan zikir itu lebih besar dari sembahyang? Bukankah zikir itu hanya sunat dan sembahyang lima waktu itu suatu yang fardhu? Atau apakah zikir itu dikatakan lebih besar apabila dibandingkan dengan sembahyang sunat? Kalau begini tidaklah menghairankan kerana amalan sunat memang sama pahala dan kepentingan di sisi Allah swt tidak seperti pahala dan kepentingan amalan fardhu berbanding amalan sunat.
Ada sepotong ayat al-Qur'an, Allah swt menyatakan bahawa celakalah orang-orang yang sembahyang yang lalai dari sembahyangnya. Apakah yang dimaksudkan zikir lebih besar dari sembahyang ialah dibandingkan dengan sembahyang fardhu yang lalai? Lalai bagaimana? Lalai dalam erti tidak khusu' atau dalam erti bersikap munafik? Sesungguhnya Rasulullah saw ada menyatakan bahawa maksudnya seseorang yang sembahyang itu mendapat sekadar yang dikhusu'inya iaitu separuh atau satu pertiga atau satu perenam atau satu perlapan. Ini jelas boleh jadi zikir itu lebih besar daripada sembahyang yang banyak ruang-runag yang tidak diisi dengan khusus' itu. Kalau dikatakan dibandingkan dengan sembahyang munafik ( menunjuk-nunjuk ), maka ini tidaklah wajar dibandingkan kerana sembahyang munafik itu tidak dapat dibandingkan dengan zikir kerana sembahyang munafik sedikitpun tidak dikira sembahyang di sisi Allah swt. Kalau begitu sembahyang apakah yang dikatakan zikir itu lebih besar daripada sembahyang seperti yang dinyatakan oleh Allah swt di dalam al-Qur'an?
Pada pendapat penulis blog ini yang serba lemah dan tohor ilmunya bahkan tidak pandai langsung di dalam bahasa Arab ini, bandingan yang dibuat oleh Allah swt bahawa zikir itu lebih besar dari sembahyang ialah sembahyang yang kosong hati daripada khusu'. Ini adalah selaras dengan sabda Rasulullah saw bahawa seseorang itu sembahyang hanya mendapat pahala sekadar yang diingatinya ( kepada Allah swt ) dalam sembahyangnya, bukan sembahyang yang penuh kekhusu'annya. Ini adalah pendapat penulis yang jahil ini tetapi mahu mengulas juga tentang beberapa persoalan agama. Ini adalah kerana roh sembahyang ialah zikir. Jadi sembahyang tanpa zikir tidak adalah rohnya. Kalau diibaratkan manusia, itulah orang mati. Sembahyang yang mempunyai sedikit-sedikit zikir kepada Allah swt, ibarat orang yang sakit berat tidak dapat bangun. Manakala sembahyang yang lebih banyak khusu' atau zikirnya kepada Allah swt adalah ibarat orang yang sakit-sakit badan yang membebankannya untuk hidup. Manakala sembahyang yang lebih banyak zikir daripada lalai, inilah orang yang sakit-sakit ringan seperti sakit kepala dan sembahyang yang penuh zikir adalah orang yang sihat wal afiat. Hanya Allah swt sahaja yang mengetahui segala-gala dengan tepat dan benar. Oleh kerana zikir atau khusu' kepada Allah swt di dalam sembahyang itu menentukan nilai sembahyang itu, maka inilah jadinya zikir itu lebih besar daripada sembahyang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan