Selasa, 30 Jun 2009

Biar Allah Mengenalimu

Allah swt mencipta manusia entah berapa juta billion. Teramat ramai sekali. Dan Allah swt mengenali kesemuanya. Tetapi kenapakah saya menyebut tajuk di atas dengan kalimat Biar Allah Mengenalimu, kalau Allah swt mengenali semua manusia? Sebenarnya maksud saya ialah kita mahu Allah swt mengenali kita sebagai hambaNya yang sangat taat kepadaNya, sebagaimana oraang-orang besar yang memegang kekuasaan mengenali kita yang kuat menyokong politiknya. Bukan mengenali disebabkan perbuatan kita yang menjadi jaguh melakukan kerosakan di dalam negara.
Kita mahu Allah swt mengenali kita sebagai kekasihNya, bukan sebagai jaguh penderhaka terhadapNya. Kita datang ke pangkuanNya dengan sambutan penuh kasih sayang. Dipersilakan kita memasuki syurgaNya yang penuh nikmat. Dijauhkan kita daripada api nerakaNya. Di syurga dijamu kita dengan makanan yang lazat-lazat. Dipandang kita dengan penuh rahmat. Di hadap kita untuk bercakap-cakap denganNya. DitatapNya wajah kita dengan mataNya yang redup dan lembut nyaman. Kita diizinkanNya menatap wajahNya yang indah tanpa rasa puas. Tak puas kerana kecantikkanNya. Rasulullah saw menyatakan, " Allah swt itu cantik, sesungguhnya Ia suka kepada kecantikan."
Untuk Allah swt mengenali kita, hendaklah kita terlebih dahulu mengenaliNya. Memang Allah swt pernah mengenali seseorang hambaNya lebih dahulu daripada hambaNya mengenaliNya. Ini pernah terjadi di kalangan orang-orang tasauf. Tetapi pada umumnya manusia perlu terlebih dahulu berusaha mengenali dan mencintai Allah swt, kenapa? Kerana Dia adalah Tuhan manusia. Dia yang memiliki sifat takabur, sifat suka membesar diriNya yang sememangnya layak untuk dibesarkan. Kalau Allah swt mempunyai sifat sombong dan suka menyombong diriNya, bolehkah kita manusia juga mahu menyombong terhadap Allah swt? Kalau Dia tidak dibesarkan, Dia akan menghukum hamba-hambaNya yang menyombong diri terhadapNya. Kalau kita yang mahu membesar diri, apakah yang dapat kita lakukan? Allah swt yang perkasa akan melempar kita ke dalam api neraka.
Kita janganlah mengharapkan yang jarang-jarang terjadi itu iaitu Allah swt akan mengenali kita sedangkan kita tidak mengenaliNya. Marilah kita merendah diri kepada Yang Berhak. Kita sekali-kali tidak layak untuk mengambil sifat Tuhan yang sedikitpun tidak layak kepada sebarang makhluk. Langit tidak layak. Gunung tidak layak. Apakan kita manusia yang lemah dan kerdil ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan