Pada suatu waktu dahulu di Tanah Merah, Kelantan, terdapat seorang lelaki bernama Haji Idris. Dia bekerja sebagai Penggawa di daerah Tanah Merah. Di Kelantan jawatan Penggawa ialah jawatan ketua kepada Penghulu. Kalau disetengah-setengah negeri, mereka menamakan Penggawa dengan Penghulu seperti negeri Trengganu dan Pahang, manakala Penghulu dinamakan Ketua Kampung bagi negeri Terengganu dan Tok Empat bagi negeri Pahang. Saya tidaklah mengetahui apakah nama atau panggilan Penggawa bagi negeri-negeri yang lain lagi. Orang yang memegang jawatan Penggawa di Kelantan dipanggil Tok Penggawa. Jadi Haji Idris dipanggil Tok Penggawa Haji Idris.
Apa yang hendak saya ceritakan di sini ialah berkaitan duit satu sen dengan peribadi Tok Penggawa Haji Idris. Sungguhpun Tok Penggawa Haji Idris seorang Tok Penggawa, bukan seorang Tok Guru, tetapi dia adalah seorang yang wara' dan takwa kepada Allah swt. Memang jarang orang-orang yang bekerja makan gaji dengan kerajaan memiliki iman yang baik dan wara' serta bertakwa kepada Allah swt. Bahkan ada Tok-Tok Guru yang mengajar agama di masjid-masjid yang tidak wara' dan tidak bertakwa kepada Allah swt. Sesungguhnya Tok Penggawa Haji Idris adalah seorang yang salih dan suci hatinya.
Pernah pada suatu hari ketika menerima bayaran hasil tanah ( atau hasil-hasil lainnya ) dari anak-anak mukimnya, Tok Penggawa Haji Idris telah memulangkan semula duit lebihan yang telah dihalalkan kepadanya oleh anak mukimnya itu setelah membuat bayaran hasil tanah kepadanya sebanyak satu sen. Memang pada zaman itu ( lebih kurang tahun 1940an ), duit satu sen mempunyai nilai seperti duit zaman sekarang yang bernilai sepuluh sen atau lebih tinggi lagi. Anak mukimnya itu tidak mahu mengambil dan menghalalkan kepada Tok Penggawa Haji Idris. Tetapi Tok Penggawa Haji Idris mahu orang itu mengambilnya duit lebihan itu, katanya, " Ambil dulu, lepas tu kalau mahu bersedekah, bersedekahlah."
Lihatlah iman Tok Penggawa Haji Idris, dia tidak mahu makan hak orang biarpun satu sena ( 10 sen atau lebih ), meskipun duit satu sen itu telah dihalalkan kepadanya. Kenapa Tok Penggawa Haji Idris tidak mahu menerima pemberian orang yang telah dihalalkan kepadanya itu? Anih bukan? Bukankah itu sudah tidak berdosa lagi kalau diambilnya?
Inilah prinsip orang wara'. Sebab-sebab Tok Penggawa Haji Idris tidak mahu mengambil pemberian anak mukimnya itu padahal telah dihalalkan kepadanya bukan kerana duit itu terlalu sedikit, tetapi disebabkan kewara'an dan kesalihan Tok Penggawa Haji Idris, dan pada pandangan Tok Penggawa Haji Idris, anak mukimnya itu memberi kepadanya duit lebihan satu sen itu bukan benar-benar ikhlas, tetapi semata-mata kerana segan atau malu kepadanya untuk mengaambil haknya yang sedikit itu. Ini dapat dibuktikan, apakah anak mukimnya itu akan bersedekah setelah dia menerima duit lebihan itu kepada kaum fakir miskin? Ketika itu baru terbukti keikhlasannya. Dan kenapa Tok Penggawa Haji Idris tidak mahu mengambil duit satu sen itu? Kerana dia takut berdosa dan diazab. Kerana sekecil mana dosa yang dilakukan, tetap ada pembalasannya sekadar dosa yang dikerjakan itu kecuali diampun atau dimaafkan atau dipulang barang yang dicuri atau diganti kalau sudah hilang atau musnah.