Selasa, 30 Jun 2009

Dosa Satu Sen Tetap Diazab

Pada suatu waktu dahulu di Tanah Merah, Kelantan, terdapat seorang lelaki bernama Haji Idris. Dia bekerja sebagai Penggawa di daerah Tanah Merah. Di Kelantan jawatan Penggawa ialah jawatan ketua kepada Penghulu. Kalau disetengah-setengah negeri, mereka menamakan Penggawa dengan Penghulu seperti negeri Trengganu dan Pahang, manakala Penghulu dinamakan Ketua Kampung bagi negeri Terengganu dan Tok Empat bagi negeri Pahang. Saya tidaklah mengetahui apakah nama atau panggilan Penggawa bagi negeri-negeri yang lain lagi. Orang yang memegang jawatan Penggawa di Kelantan dipanggil Tok Penggawa. Jadi Haji Idris dipanggil Tok Penggawa Haji Idris.
Apa yang hendak saya ceritakan di sini ialah berkaitan duit satu sen dengan peribadi Tok Penggawa Haji Idris. Sungguhpun Tok Penggawa Haji Idris seorang Tok Penggawa, bukan seorang Tok Guru, tetapi dia adalah seorang yang wara' dan takwa kepada Allah swt. Memang jarang orang-orang yang bekerja makan gaji dengan kerajaan memiliki iman yang baik dan wara' serta bertakwa kepada Allah swt. Bahkan ada Tok-Tok Guru yang mengajar agama di masjid-masjid yang tidak wara' dan tidak bertakwa kepada Allah swt. Sesungguhnya Tok Penggawa Haji Idris adalah seorang yang salih dan suci hatinya.
Pernah pada suatu hari ketika menerima bayaran hasil tanah ( atau hasil-hasil lainnya ) dari anak-anak mukimnya, Tok Penggawa Haji Idris telah memulangkan semula duit lebihan yang telah dihalalkan kepadanya oleh anak mukimnya itu setelah membuat bayaran hasil tanah kepadanya sebanyak satu sen. Memang pada zaman itu ( lebih kurang tahun 1940an ), duit satu sen mempunyai nilai seperti duit zaman sekarang yang bernilai sepuluh sen atau lebih tinggi lagi. Anak mukimnya itu tidak mahu mengambil dan menghalalkan kepada Tok Penggawa Haji Idris. Tetapi Tok Penggawa Haji Idris mahu orang itu mengambilnya duit lebihan itu, katanya, " Ambil dulu, lepas tu kalau mahu bersedekah, bersedekahlah."
Lihatlah iman Tok Penggawa Haji Idris, dia tidak mahu makan hak orang biarpun satu sena ( 10 sen atau lebih ), meskipun duit satu sen itu telah dihalalkan kepadanya. Kenapa Tok Penggawa Haji Idris tidak mahu menerima pemberian orang yang telah dihalalkan kepadanya itu? Anih bukan? Bukankah itu sudah tidak berdosa lagi kalau diambilnya?
Inilah prinsip orang wara'. Sebab-sebab Tok Penggawa Haji Idris tidak mahu mengambil pemberian anak mukimnya itu padahal telah dihalalkan kepadanya bukan kerana duit itu terlalu sedikit, tetapi disebabkan kewara'an dan kesalihan Tok Penggawa Haji Idris, dan pada pandangan Tok Penggawa Haji Idris, anak mukimnya itu memberi kepadanya duit lebihan satu sen itu bukan benar-benar ikhlas, tetapi semata-mata kerana segan atau malu kepadanya untuk mengaambil haknya yang sedikit itu. Ini dapat dibuktikan, apakah anak mukimnya itu akan bersedekah setelah dia menerima duit lebihan itu kepada kaum fakir miskin? Ketika itu baru terbukti keikhlasannya. Dan kenapa Tok Penggawa Haji Idris tidak mahu mengambil duit satu sen itu? Kerana dia takut berdosa dan diazab. Kerana sekecil mana dosa yang dilakukan, tetap ada pembalasannya sekadar dosa yang dikerjakan itu kecuali diampun atau dimaafkan atau dipulang barang yang dicuri atau diganti kalau sudah hilang atau musnah.

Biar Allah Mengenalimu

Allah swt mencipta manusia entah berapa juta billion. Teramat ramai sekali. Dan Allah swt mengenali kesemuanya. Tetapi kenapakah saya menyebut tajuk di atas dengan kalimat Biar Allah Mengenalimu, kalau Allah swt mengenali semua manusia? Sebenarnya maksud saya ialah kita mahu Allah swt mengenali kita sebagai hambaNya yang sangat taat kepadaNya, sebagaimana oraang-orang besar yang memegang kekuasaan mengenali kita yang kuat menyokong politiknya. Bukan mengenali disebabkan perbuatan kita yang menjadi jaguh melakukan kerosakan di dalam negara.
Kita mahu Allah swt mengenali kita sebagai kekasihNya, bukan sebagai jaguh penderhaka terhadapNya. Kita datang ke pangkuanNya dengan sambutan penuh kasih sayang. Dipersilakan kita memasuki syurgaNya yang penuh nikmat. Dijauhkan kita daripada api nerakaNya. Di syurga dijamu kita dengan makanan yang lazat-lazat. Dipandang kita dengan penuh rahmat. Di hadap kita untuk bercakap-cakap denganNya. DitatapNya wajah kita dengan mataNya yang redup dan lembut nyaman. Kita diizinkanNya menatap wajahNya yang indah tanpa rasa puas. Tak puas kerana kecantikkanNya. Rasulullah saw menyatakan, " Allah swt itu cantik, sesungguhnya Ia suka kepada kecantikan."
Untuk Allah swt mengenali kita, hendaklah kita terlebih dahulu mengenaliNya. Memang Allah swt pernah mengenali seseorang hambaNya lebih dahulu daripada hambaNya mengenaliNya. Ini pernah terjadi di kalangan orang-orang tasauf. Tetapi pada umumnya manusia perlu terlebih dahulu berusaha mengenali dan mencintai Allah swt, kenapa? Kerana Dia adalah Tuhan manusia. Dia yang memiliki sifat takabur, sifat suka membesar diriNya yang sememangnya layak untuk dibesarkan. Kalau Allah swt mempunyai sifat sombong dan suka menyombong diriNya, bolehkah kita manusia juga mahu menyombong terhadap Allah swt? Kalau Dia tidak dibesarkan, Dia akan menghukum hamba-hambaNya yang menyombong diri terhadapNya. Kalau kita yang mahu membesar diri, apakah yang dapat kita lakukan? Allah swt yang perkasa akan melempar kita ke dalam api neraka.
Kita janganlah mengharapkan yang jarang-jarang terjadi itu iaitu Allah swt akan mengenali kita sedangkan kita tidak mengenaliNya. Marilah kita merendah diri kepada Yang Berhak. Kita sekali-kali tidak layak untuk mengambil sifat Tuhan yang sedikitpun tidak layak kepada sebarang makhluk. Langit tidak layak. Gunung tidak layak. Apakan kita manusia yang lemah dan kerdil ini.

Isnin, 29 Jun 2009

Kebenaran Sumber Bahagia

Allah swt itu kebenaran, sebab itu setiap orang yang bersikap benar akan merasai bahagia di dalam hatinya. Para nabi, para rasul, para orang-orang yang menyeru manusia kepada ajaran agama Allah swt akan merasa bahagia kerana mereka menyeru kepada kebenaran. Apakah ukuran kebahagiaan itu? Ya, Allah swt adalah sumber kebahagiaan, tetapi bagaimana kita dapat mengetahui Allah swt yang merupakan sumber segala kebenaran dapat memberi kebahagiaan?
Allah swt adalah pewujud segala yang wujud. Allah swt ada sebelum segala sesuatu ada. Allah swt ada tidak dengan permulaan seperti dilahirkan atau dicipta atau tiba-tiba muncul ke dalam alam. Kalau Allah swt dilahirkan, bererti Dia mempunyai sekurang-kurangnya ibu seperti Nabi Isa as. Kalau Allah swt dicipta bererti Dia seperti robot yang direka oleh manusia. Kalau Allah swt tiba-tiba muncul bererti Dia wujud secara kebetulan. Mustahil sesuatu yang sempurna dapat wujud secara kebetulan! Benda yang tidak bernyawa pun tidak dapat wujud kalau tidak dicipta atau diadakan, apatah lagi untuk wujud dengan sempurna seperti Allah swt.
Kembali kita untuk memperkatakan kebenaran itu sumber kebahagiaan, dan Allah swt itu adalah sumber kebenaran. Apakah ada orang yang berfikir bahawa kepalsuan itu sumber kebahagiaan, dan Allah swt itu bukan sumber kebenaran? Apa alasan dia? Bagaimana dapat dikatakan kepalsuan itu sumber kebahagiaan, sedangkan kepalsuan itu adalah pembohongan? Apakah di dalam pembohongan itu duduknya kebahagiaan? Hati orang yang pembohong penuh dengan kegelisahan dan rasa bersalah. Hati pembohong adalah sarang ketidaktenteraman. Apakah ada yang berani membantah? Hati pembohong penuh dengan ketenteraman? Pembohong itu lawannya pembawa kebenaran. Kalau dalam hati pembohong itu dapat duduk kebahagiaan, sudah pasti di dalam hati pembawa kebenaran dapat duduk kegelisahan. Ini adalah perkara yang mustahil.
Di dalam kelazatan tidak terdapat kepahitan. Di dalam kesiksaan tidak terdapat kenikmatan. Apakah di dalam kepanasan itu ada kenikmatan? Apakah di dalam kenyamanan itu ada kepedihan? Ini mustahil. Kalau begitu masakan di dalam kebenaran terdapat kekegelisahan, dan di dalam kepalsuan terdapat ketenangan!!
Semua manusia mengakui perbuatan jenayah yang mereka lakukan telah menyebabkan hati mereka tidak tenteram. Kenapa? kerana perbuatan jenayah yang mereka lakukan itu adalah suatu kepalsuan. Masakan di dalam kepalsuan terdapat kebahagiaan? Sudah saya katakan kebahagiaan lahir daripada kebenaran, dan kebenaran itu bersumber daripada Allah swt. Maka jelaslah Allah swt itu adalah sumber kebahagiaan kerana Allah swt adalah sumber kebenaran.

Ahad, 28 Jun 2009

Ingat! Allah Itu Suci

Orang-orang yang menyembah berhala mengatakan Tuhan mereka itu suci! Orang-orang yang mempercayai dewa-dewi mengatakan Tuhan mereka itu suci. Pendekata semua orang yang beragama mempercayai Tuhan mereka suci. Bagaimana dengan umat Islam? Pastinya mempercayai begitu juga. Baiklah! Bagaimana semua orang yang beragama mempercayai Tuhan mereka suci? Tentulah dari pengajaran kitab-kitab masing! Orang-orang Yahudi diketahui dari pengajian kitab Taurat dan Talmud mereka. Orang Hindu daripada kitab mereka. Orang Buddha dari kitab mereka. Orang Keristian dari ktab Injil mereka. Begitu juga dengan orang-orang Islam, dari al-Qur'an dan hadith nabi mereka.
Kesimpulannya, semua agama menetapkan Tuhan itu suci. Apakah erti suci itu? Apakah erti Tuhan itu suci. Suci yang bagaimana? Suci daripada apa?
Saya tidak mahu memperkatakan tentang kesucian Tuhan, selain Tuhan orang-orang Islam sahaja iaitu Allah swt. Ini adalah kerana kita orang-orang Islam wajib mempelajari tentang Tuhan kita, Allah swt.
Allah swt itu suci, ertinya ZatNya adalah suci daripada unsur-unsur kejadian iaitu dilahirkan, mengalami kesakitan, keletihan, kegelisahan, tidur, lupa, apatah lagi mati atau lenyap. Allah swt itu suci juga bererti ZatNya memiliki atau ZatNya bersifat dengan sifat-sifat yang sempurna, tidak ada pada ZatNya sifat-sifat kekurangan seperti zalim, berkhianat, tidak adil dan sebagainya.
Ulama'-ulama' ilmu kalam menetapkan dua puluh sifat Allah yang wajib diketahui, iaitu sifat-sifat yang menunjukkan Allah swt itu suci daripada sifat-sifat kekurangan. Dua puluh sifat yang sempurna yang dimiliki oleh Allah swt itu perlu diketahui dan diyakini oleh setiap orang Islam agar mereka menjadi seorang Islam yang sebenarnya, mengenal Tuhan mereka dengan betul, bukan hanya mengetahui Tuhan mereka itu Allah swt yang Maha Suci, tetapi tidak mengetahui apakah maksudnya. Di sini saya tidak dapat hendak menghuraikan secara satu persatu sifat-sifat Allah yang wajib dimilikiNya yang dinamakan sifat-sifat yang suci itu kerana penghuraiannya agak panjang. Untuk saudara-saudari ingin mempelajari tentangnya, silalah baca atau pelajarilah dengan Tok-Tok Guru yang mengajar tentang ilmu ketuhanan atau ilmu tauhid di masjid-masjid atau di madrasah-madrasah atau di pondok-pondok.

Berbelanjalah Mengikut Hukum Lima

Setiap hari kita perlu berbelanja kerana melunaskan keperluan hidup. Berbelanjalah dengan berhati-hati dan berhemah. Berbelanjalah berpandukan kepada keperluan, bukan kemahuan. Usahlah mencontohi cara berbelanja orang-orang yang hidup mewah, kerana mereka mempunyai wang yang lebih dan melimpah-limpah. Jadi untuk menyalurkan wang yang bersepah itu keluar agar tidak berkelodak di dalam bank, mereka perlu berbelanja mengikut sesedap rasa sahaja. Namun akhirnya mereka menyesal. Kalau mereka tidak menyesal di dunia, mereka akan menyesal di akhirat kelak.

Mengikut ajaran agama Islam, untuk berbelanja, perlulah kita berpandukan kepada lima hukum. Samalah dengan hukum fekah juga, iaitu wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Cara ini akan menjadikan hidup kita selamat dan teratur dan tidak terbeban dengan hutang yang bertalian. Bagaimanakah cara berbelanja mengikut hukum lima ini?

Cara pertama iaitu berbelanja cara wajib. Rasanya tidaklah perlu saya beritahu apakah barang-barang yang wajib seseorang membelinya. Masakan setiap orang tidak tahu apakah barang-barang yang wajib ia beli apabila ia mahu berbelanja? Misalnya beras sudah habis, maka wajiblah ia beli beras, kalau tidak sudah tentu dia dan anak isterinya akan kelaparan. Inilah yang dinamakan belanja wajib.

Belanja sunat? Bagaimanakah rupa barang-barang itu? Barang yang dikatakan seseorang itu sunat membelinya? Misalnya beras. Membeli beras adalah wajib setelah beras di rumah sudah kehabisan. Ini wajib. Tetapi membeli jenis-jenis beras itu adalah sunat. Membeli beras yang harganya RM 1.80 sekilo tentulah dikira sunat daripada membeli beras yang berharga RM 1.70 sekilo. Begitu juga membeli ikan yang berharga RM 8.00 sekilo adalah sunat bila dibandingkan dengan membeli ikan yang harganya RM 7.50 sekilo.

Belanja harus? Membeli teh atau kopi itulah yang dikatakan belanja harus, kerana lepas makan tengahari atau malam, minum air kosong pun tak menjadi persoalan.

Belanja makruh? Membeli bermacam-macam buah-buahan sehingga berkemungkinan menjadi tak elok kerana tak sempat untuk dimakan ketika ianya masih segar dan elok.

Belanja haram? Membeli sesuatu yang boleh merosakkan kesihatan diri atau yang tidak berfaedah kepada kehidupan.

Dosa Khianat Tak Sama Dosa Belaian

Allah swt mencipta manusia dengan berbagai-bagai rupa dan warna kulit. Dia juga menjadikan manusia lelaki dan perempuan. Dia menjadikan lelaki menyukai perempuan, begitu sebaliknya. Namun disebalik kesukaan kaum lelaki terhadap kaum perempuan, terdapat sebahagian kaum lelaki suka bertindak kejam terhadap kaum perempuan. Setelah mereka memuaskan nafsu terhadap kaum perempuan, mereka bertindak kejam dengan mengkhianati mereka. Sudahlah mereka rogol, setelah itu dibunuh pula. Inilah perbuatan khianat yang dilakukan oleh sebahagian kaum lelaki terhadap kaum perempuan, padahal mereka menyukai dan mencintai terhadap kaum itu.

Disebalik itu terdapat pula segolongan kaum lelaki yang menyukai kaum perempuan. Mereka bercinta dan membelai kaum yang sememangnya diciptakan oleh Allah swt sebagai pasangan hidup mereka itu. Mereka bercinta dan melakukan perbuatan yang sememangnya dimurkai oleh Allah swt, tetapi hati mereka mulia. Mereka tidak pernah mahu menyakiti kaum perempuan setelah mereka membelai mereka. Mereka melampias nafsu mereka dan sama-sama menikmati keseronokan.

Kedua-dua perbuatan ini adalah dilarang dan akan dibalas dengan dosa dan siksa. Tetapi kedua-dua jenis perbuatan maksiat ini amat jauh bezanya bagaikan langit dengan bumi. Ini adalah kerana lelaki yang melakukan maksiat dengan penuh kasih sayang mudah diampun dosanya oleh Allah swt, kerana Allah swt yang berhak mengampuni dosa lelaki itu. Sekiranya Allah swt mengampuninya, maka terselamatlah dia daripada siksaan di akhirat. Adapun terhadap lelaki yang kejam itu, Allah swt bersedia untuk mengampuni perbuatannya yang semata-mata terbit daripada kebuasan nafsu syahwatnya sebagaimana Dia bersedia untuk mengampuni si lelaki yang berhati mulia itu, tetapi bukan mudah untuk Dia mengampuni dosa kekejaman meskipun Dia maha pengampun lagi maha penyayang.

Khatamlah al-Qur'an Setiap Hari

Mampukah saudara-saudara dan saudari-saudari semua mengkhatam al-Qur'an setiap hari? Tentulah kalau perlu membaca sebanyak 30 juzu' tidaklah terdaya untuk melakukannya. Rasa-rasanya untuk melakukan setahun sekali pun susah, inikan setiap hari. Kalau begitu kenapakah ada yang mahukan al-Qur'an dikhatam setiap hari kalau ini satu perkara yang mustahil dilakukan? Tidak! Sebenarnya mengkhatam al-Qur'an satu kali setiap hari bukan sesuatu kerja yang mustahil dilakukan. Ia adalah satu kerja yang mungkin, bahkan mampu dilakukan oleh semua orang. Asalkan berkehendak sahaja. Bagaimana cara untuk melakukannya?

Rasulullah saw ada bersabda maksudnya, membaca satu kali surah al-Ikhlas, sama dengan membaca sepertiga al-Qur'an.

Inilah rahsianya. Oleh itu marilah kita membaca surah Qulhuwallah sebanyak tiga kali setiap hari yang membolehkan kita termasuk ke dalam golongan orang-orang mengkhatam al-Qur'an sekali setiap hari.