Kita pernah dengar orang alim mengatakan, Allah swt membakar nafsu di dalam api neraka selama 1,000 tahun, namun ianya tetap degil enggan mengakui kebesaran Allah swt. Bila Allah swt bertanya kepadanya setelah dibakar itu, " Bukankah Aku ini Tuhan kamu?" Jawab nafsu, " Kau, kau, aku, aku." Ini memperlihatkan kepada kita betapa degilnya nafsu.
Setiap makhluk Allah swt mencipta nafsu. Macam-macam jenis nafsu di dalam badan manusia seperti nafsu makan, nafsu tidur, nafsu bercakap dan sebagainya. Tetapi yang dimaksudkan dengan nafsu di sini ialah nafsu syahwat atau nafsu seksual. Ini adalah kerana nafsu seksual paling ganas dan merosakkan.
Allah swt mencipta nafsu bersifat tidak pernah puas dengan rasukannya. Rontaannya tersangat dahsyat. Perjalanannya tidak pernah mahu berhenti. Gigitannya sangat membisa. Matlamatnya tersangat jauh sehingga tidak nampak hujungnya. Yang ketara sekali kehendaknya tidak pernah puas. Inilah hakikat dan sifat-sifat nafsu.
Kenapa Allah swt menjadikan nafsu bersifat demikian dan disimpan di dalam badan manusia? Bagaimanakah pula seandainya Allah swt tidak mencipta nafsu yang bersifat demikian? Apakah yang akan terjadi kepada kehidupan ini? Kerana Allah swt mahu kehidupan di dunia ini berterusan dengan zuriat maanusia, maka Allah swt menjadikan sifat nafsu demikian. Kalau tidak manusia tidak akan berkembang biak dan akan pupus dari muka bumi.
Namun manusia perlu berhati-hati dengan nafsu seks mereka. Memang nafsu seks sentiasa bergelora di dalam dada manusia. Tetapi ianya tenang kalau tidak diberi perhatian pada kesukaan-kesukaannya. Kalau kesukaannya sengaja dibuka atau dipertontonkan, maka nafsu seks akan segar dan bertenaga. Tetapi bila ditutup dengan baik dari dapat dinikmatinya, maka keganasannya akan mengendur.
Sesungguhnya Allah swt itu Maha Bijaksana. Dia boleh menjadikan manusia kekal wujud di dunia tanpa dibekalkan dengan nafsu seks yang ganas. Allah swt boleh menjadikan orang perempuan mengandung setelah ianya cukup dewasa tanpa disetubuhi oleh orang lelaki. Tetapi dimana kenikmatan hidup manusia? Allah swt mahu manusia merasai kenikmatan hidup yang berbagai-bagai di dunia sebagaimana Dia juga mahu manusia merasai kesusahan dan kesakitan hidup di dunia. Inilah hikmat Allah swt menjadikan nafsu manusia yang sifatnya menyukai kelazatan dan tidak pernah merasa puas itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan