Agaknya tuan-tuan dan puan-puan para pembaca mengira, manakah yang lebih ramai di kalangan manusia, yang suka menghina atau yang kena hina? Tentu jawabnya mungkin sama ramai atau sama banyak. Agaknya di kalangan manusia, saudara-saudari pembaca blog saya ini mengira, siapakah yang lebih ramai di antara orang-orang yang baik dengan orang-orang yang jahat? Tentu jawabnya ramai orang-orang yang jahat. Ini adalah kerana sudah menjadi lumrah kehidupan, manusia yang jahat lebih ramai daripada manusia yang baik, kenapa? Kerana lebih ramai manusia yang tewas pada hasutan dan godaan nafsu syahwat mereka berbanding dengan yang kuat dan tabah melawan. Kalau begitu apa kaitannya dengan orang suka menghina? Bukankah orang-orang yang suka menghina itu adalah orang-orang yang jahat? Tetapi kenapa dikatakan mereka sama ramai dengan orang-orang yang baik, tetapi dikatakan pula orang-orang yang jahat lebih ramai daripada orang yang baik? Ini agak kacau.
Sebenarnya orang-orang yang jahat itu tidak semuanya suka menghina orang. Ramai sekali orang-orang jahat yang tidak suka menghina orang lain sama ada yang baik mahupun yang jahat seperti mereka. Ini adalah kerana orang-orang suka menghina itu adalah sebahagian daripada orang-orang jahat. Samalah dengan penzina yang membunuh mangsa zinanya. Orang yang suka berzina itu ramai sekali, tetapi orang-orang yang berzina kemudian membunuh pula mangsa zinanya tidaklah ramai.
Apa kaitannya dikatakan para nabi adalah orang yang tidak suka menghina? Sebenarnya saya lihat ramai sekali orang-orang Islam yang suka menghina orang lain. Mereka bukan sahaja orang-orang yang kurang iman dan kurang ilmu agama, tetapi adalah orang-orang pandai di dalam agama. Jadi orang-orang yang beragama tetapi suka menghina hendaklah menyedari bahawa sikap mereka yang suka menghina itu bukanlah satu sifat para nabi atau orang-orang yang dekat dengan Allah swt. Kalau orang-orang yang nampak begitu baik, taat beragama dan kuat beribadat tetapi masih juga suka menghina orang, mereka hendaklah mengkaji peribadi mereka agar mereka tidak menjadi fitnah kepada umat Islam yang lemah dan juga kepada umat yang lain. Janganlah mereka menggabungkan sifat-sifat yang tidak pernah dimiliki oleh seorang nabi pun dengan amalan-amalan dan sifat para nabi. Ketahuilah sesungguhnya para nabi amat benci kepada sifat suka menghina, sebab itu semua para nabi hidup mereka sentiasa dihina oleh orang-orang yang tidak mahu beriman dan benci kepada kehidupan beriman. Kalau ada orang yang terkenal lebai dan kuat beragama kerana pandai bersyarah dan memakai pakaian tok-tok lebai, tetapi suka menghina orang, ketahuilah si lebai itu sebenarnya bukanlah orang-orang yang dapat bersama para nabi, tetapi mereka adalah orang-orang yang mempunyai hati yang kotor dan layak untuk dihimpun bersama-sama orang jahat yang suka menghina di akhirat nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan