Isnin, 6 Julai 2009

Berfikir Sesaat Lebih Baik Daripada Ibadat 70 Tahun

Banyak kita dengar hadith-hadith Rasulullah saw yang menyatakan bahawa keutamaan amalan berfikir, sehingga dinyatakan pahalanya begitu besar yang hanya sekadar sesaat sahaja berfikir, pahalanya lebih besar daripada melakukan ibadat selama 70 tahun. Ada hadith yang menyatakan pahala setahun dan sebagainya. Namun tujuh puluh atau setahun pahala telah menunjukkan betapa besarnya galakan menggunakan akal fikiran di dalam hidup ini berbanding hanya duduk beribadat tanpa banyak berfikir.
Timbul pertanyaan pula, berfikir tentang apakah yang akan diberi pahala sehingga melebihi pahala ibadat sunat 70 tahun? Apakah berfikir mencipta kenderaan yang canggih, Allah swt akan memberi pahala ibadat seperti ibadat orang-orang Abid selama 70 tahun? Apakah berfikir untuk membenih hujan pada garisan awan di ketika musim kemarau akan diberi pahala 70 tahun ibadat sunat? Apakah berfikir bagaimana untuk memajukan bidang sukan negara akan diberi pahala ibadat sunat 70 tahun? Dengan ringkas dikatakan, apakah berfikir tentang persoalan-persoalan dunia itu akan diberi pahala ibadat 70 tahun itu?
Kita perlu memahami persoalan ini dengan sejelas-jelasnya dan munasabah. Apakah bertepatan Allah swt akan memberi pahala sebanyak 70 tahun orang-orang abid yang beribadat tanpa henti kepada seseorang pemikir yang sibuk memikir persoalan-persoalan dunia demi untuk memajukan peradaban kehidupan menyamai tokoh-tokoh ilmu yang berfikir tentang persoalan-persoalan agama dan meningkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah swt?
Kita sedar bahawa yang mengucapkan kalimah tentang keutamaan berfikir sesaat itu lebih baik daripada melakukan ibadat 70 tahun adalah Rasulullah saw. Apakah masuk di akal bahawa Rasulullah saw menyatakan bahawa pemikir-pemikir persoalan-persoalan dunia akan dipandang begitu besar oleh Allah swt, sedangkan Allah swt memandang dunia ini lebih hina berbanding sebelah sayap nyamok? Bersambung insya' Allah......................

Khamis, 2 Julai 2009

Nafsu Tak Pernah Puas, Tak Pernah Insaf

Kita pernah dengar orang alim mengatakan, Allah swt membakar nafsu di dalam api neraka selama 1,000 tahun, namun ianya tetap degil enggan mengakui kebesaran Allah swt. Bila Allah swt bertanya kepadanya setelah dibakar itu, " Bukankah Aku ini Tuhan kamu?" Jawab nafsu, " Kau, kau, aku, aku." Ini memperlihatkan kepada kita betapa degilnya nafsu.
Setiap makhluk Allah swt mencipta nafsu. Macam-macam jenis nafsu di dalam badan manusia seperti nafsu makan, nafsu tidur, nafsu bercakap dan sebagainya. Tetapi yang dimaksudkan dengan nafsu di sini ialah nafsu syahwat atau nafsu seksual. Ini adalah kerana nafsu seksual paling ganas dan merosakkan.
Allah swt mencipta nafsu bersifat tidak pernah puas dengan rasukannya. Rontaannya tersangat dahsyat. Perjalanannya tidak pernah mahu berhenti. Gigitannya sangat membisa. Matlamatnya tersangat jauh sehingga tidak nampak hujungnya. Yang ketara sekali kehendaknya tidak pernah puas. Inilah hakikat dan sifat-sifat nafsu.
Kenapa Allah swt menjadikan nafsu bersifat demikian dan disimpan di dalam badan manusia? Bagaimanakah pula seandainya Allah swt tidak mencipta nafsu yang bersifat demikian? Apakah yang akan terjadi kepada kehidupan ini? Kerana Allah swt mahu kehidupan di dunia ini berterusan dengan zuriat maanusia, maka Allah swt menjadikan sifat nafsu demikian. Kalau tidak manusia tidak akan berkembang biak dan akan pupus dari muka bumi.
Namun manusia perlu berhati-hati dengan nafsu seks mereka. Memang nafsu seks sentiasa bergelora di dalam dada manusia. Tetapi ianya tenang kalau tidak diberi perhatian pada kesukaan-kesukaannya. Kalau kesukaannya sengaja dibuka atau dipertontonkan, maka nafsu seks akan segar dan bertenaga. Tetapi bila ditutup dengan baik dari dapat dinikmatinya, maka keganasannya akan mengendur.
Sesungguhnya Allah swt itu Maha Bijaksana. Dia boleh menjadikan manusia kekal wujud di dunia tanpa dibekalkan dengan nafsu seks yang ganas. Allah swt boleh menjadikan orang perempuan mengandung setelah ianya cukup dewasa tanpa disetubuhi oleh orang lelaki. Tetapi dimana kenikmatan hidup manusia? Allah swt mahu manusia merasai kenikmatan hidup yang berbagai-bagai di dunia sebagaimana Dia juga mahu manusia merasai kesusahan dan kesakitan hidup di dunia. Inilah hikmat Allah swt menjadikan nafsu manusia yang sifatnya menyukai kelazatan dan tidak pernah merasa puas itu.

Para Nabi Tak Pernah Menghina

Agaknya tuan-tuan dan puan-puan para pembaca mengira, manakah yang lebih ramai di kalangan manusia, yang suka menghina atau yang kena hina? Tentu jawabnya mungkin sama ramai atau sama banyak. Agaknya di kalangan manusia, saudara-saudari pembaca blog saya ini mengira, siapakah yang lebih ramai di antara orang-orang yang baik dengan orang-orang yang jahat? Tentu jawabnya ramai orang-orang yang jahat. Ini adalah kerana sudah menjadi lumrah kehidupan, manusia yang jahat lebih ramai daripada manusia yang baik, kenapa? Kerana lebih ramai manusia yang tewas pada hasutan dan godaan nafsu syahwat mereka berbanding dengan yang kuat dan tabah melawan. Kalau begitu apa kaitannya dengan orang suka menghina? Bukankah orang-orang yang suka menghina itu adalah orang-orang yang jahat? Tetapi kenapa dikatakan mereka sama ramai dengan orang-orang yang baik, tetapi dikatakan pula orang-orang yang jahat lebih ramai daripada orang yang baik? Ini agak kacau.
Sebenarnya orang-orang yang jahat itu tidak semuanya suka menghina orang. Ramai sekali orang-orang jahat yang tidak suka menghina orang lain sama ada yang baik mahupun yang jahat seperti mereka. Ini adalah kerana orang-orang suka menghina itu adalah sebahagian daripada orang-orang jahat. Samalah dengan penzina yang membunuh mangsa zinanya. Orang yang suka berzina itu ramai sekali, tetapi orang-orang yang berzina kemudian membunuh pula mangsa zinanya tidaklah ramai.
Apa kaitannya dikatakan para nabi adalah orang yang tidak suka menghina? Sebenarnya saya lihat ramai sekali orang-orang Islam yang suka menghina orang lain. Mereka bukan sahaja orang-orang yang kurang iman dan kurang ilmu agama, tetapi adalah orang-orang pandai di dalam agama. Jadi orang-orang yang beragama tetapi suka menghina hendaklah menyedari bahawa sikap mereka yang suka menghina itu bukanlah satu sifat para nabi atau orang-orang yang dekat dengan Allah swt. Kalau orang-orang yang nampak begitu baik, taat beragama dan kuat beribadat tetapi masih juga suka menghina orang, mereka hendaklah mengkaji peribadi mereka agar mereka tidak menjadi fitnah kepada umat Islam yang lemah dan juga kepada umat yang lain. Janganlah mereka menggabungkan sifat-sifat yang tidak pernah dimiliki oleh seorang nabi pun dengan amalan-amalan dan sifat para nabi. Ketahuilah sesungguhnya para nabi amat benci kepada sifat suka menghina, sebab itu semua para nabi hidup mereka sentiasa dihina oleh orang-orang yang tidak mahu beriman dan benci kepada kehidupan beriman. Kalau ada orang yang terkenal lebai dan kuat beragama kerana pandai bersyarah dan memakai pakaian tok-tok lebai, tetapi suka menghina orang, ketahuilah si lebai itu sebenarnya bukanlah orang-orang yang dapat bersama para nabi, tetapi mereka adalah orang-orang yang mempunyai hati yang kotor dan layak untuk dihimpun bersama-sama orang jahat yang suka menghina di akhirat nanti.